Wednesday, May 13, 2009

Produk al-Awfar Bank Islam bukan judi, lulus badan syariah

Source : Berita Harian On-Line
Wednesday, 08 April 2009

BANK Islam Malaysia Berhad (BIMB) ingin merujuk kepada aduan 'Tenggiling,' Port Dickson' berkaitan produk perbankan yang baru dilancarkan bagi memastikan ia memenuhi lunas syariah, seperti disiarkan di ruangan ini 27 Mac lalu.

Untuk makluman, produk itu adalah akaun simpanan dan pelaburan berasaskan kontrak syariah mudharabah (perkongsian untung). Penyimpan dan pelabur akan mendapat keuntungan (sekiranya ada) daripada sumbangan pendeposit seperti akuan berasaskan kontrak syariah mudharabah yang lain.

Bank Islam bersetuju memberi pelbagai hadiah kepada penyimpan dan pelabur termasuk cabutan berhadiah setiap tiga bulan yang diperuntukkan Bank Islam sebagai insentif dan bukan daripada keuntungan perniagaan atas simpanan dan pelaburan pendeposit.

Pandangan majoriti ulama adalah berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadis. Di antaranya hadis diriwayatkan al-Bukhari:

Daripada Aishah ra katanya: “Apabila Rasulullah SAW ingin bermusafir, Baginda akan melakukan cabutan di kalangan semua isterinya. Sesiapa yang terpilih anak panahnya (menerima cabutan) akan dibawa Baginda bermusafir bersamanya.”

Hadis itu menunjukkan cabutan dibenarkan pada kaedah dan tujuan halal. Tujuan dan kaedah Bank Islam adalah berlandaskan syariah bagi menggalakkan pelaburan dan penyimpanan dana.

Hadiah yang diberi pula adalah pelbagai dan untuk pelanggan yang layak mengikut terma dan syarat dan ia tidak merugikan pelabur serta penyimpan kerana semua hadiah itu sumbangan terus daripada Bank Islam.

Kekeliruan ‘Tenggiling’ terhadap produk itu mungkin berpunca daripada kebiasaan amalan ‘cabutan’ yang sudah tentu hasilnya bergantung kepada nasib (atau rezeki secara lebih positif) dalam masyarakat kita yang sering dikaitkan dengan aktiviti yang bercanggah dengan syarak seperti judi (maisir), riba dan hadiah yang haram.

Ada cabutan dan nasib yang halal dan ada juga cabutan dan nasib yang haram, bergantung kepada kaedah dan tujuan cabutan itu.

Kekeliruan itu tidak sepatutnya menafikan hukum asal cabutan menurut pandangan majoriti ulama, iaitu dibenarkan apabila tiada perkara bertentangan syariah.

Bank Islam ingin melaksanakan haknya bagi memilih di kalangan pendeposit mudharabah untuk diberikan hadiah disediakan dengan cara cabutan demi mencapai matlamat untuk menggalakkan pelaburan dan penyimpanan.

Semua perkara mengenai produk al-Awfar dibincangkan dan diluluskan oleh Majlis Pengawasan Syariah Bank Islam, badan berkecuali yang dianggotai pakar syariah dan kewangan Islam yang berwibawa

Sekiranya memerlukan penjelasan lanjut berkaitan perkara ini, sila hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900 atau lawati www.bankislam.com.my

No comments:

Post a Comment